Sabtu, 23 Januari 2010

Pendirian Panel Muzakarah Pakar Anjuran IKIM





Muzakarah Pakar "Terjemahan "God" Sebagai Allah : Mengenalpasti Punca Permasalahan dan Penyelesaiannya" yang dianjurkan oleh Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 21 Januari 2010 di Dewan IKIM telah berjaya mengumpulkan pakar-pakar ilmuwan Islam dan para pemimpin parti politik.

Tujuh orang pembincang yang terlibat iaitu:
i. Y.Bhg Prof. Madya Dr. Kamar Oniah Kamaruzzaman, Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
ii. YB. Dato' Dr. Abdullah Md. Zin Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri
iii. YB. Datuk Seri Haji Hadi Awang, Presiden PAS
iv. Dr. Mohd Nur Manuty, Ahli Majlis Pimpinan Pusat, Parti Keadilan Rakyat (PKR)
v. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, mantan Mufti Negeri Perlis
vi. Dr. Mohd Sani Badron, Pengarah, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan IKIM
vii. En. Md. Asham Ahmad, Felo Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM

Seramai tujuh puluh peserta telah hadir, terdiri daripada wakil Jabatan Peguam Negara, Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri, ahli-ahli akademik dari Institusi Pengajian Tinggi, badan-badan dakwah dan NGO Islam.

Kami telah dijemput sebagai mewakili parti masing-masing dan individu dalam Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam (IKIM) pada 21 Januari 2010. Laporan beberapa akhbar harian pada 22 Januari 2010 telah menyatakan sebagai berikut :

“Muzakarah Pakar anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) hari ini mengambil kata sepakat penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan atau ganti nama kepada ‘God’ tidak tepat.

Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan, penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam juga menyalahi hakikat sebenar kerana ia bercanggah dengan konsep Tuhan yang dianjur oleh agama Islam atas dasar setempat di Malaysia”.

Apa yang tidak dinyatakan di dalam laporan berkenaan ialah pendirian konsisten kami bahawa:

1. Penggunaan kalimah nama ”Allah” untuk tujuan amalan agama sesama penganut agama Kristian dan Yahudi adalah dibenarkan oleh Islam, dengan bersumberkan dalil Al Quran dan As Sunnah serta pandangan ulama muktabar.


2. Demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan negara, polemik ini hendaklah diselesaikan dengan menyuburkan budaya dialog antara agama secara matang dan bijaksana.

3. Berasaskan semangat musyawarah dan saling memahami dalam konteks masyarakat Malaysia, maka suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira dalam menentukan penggunaan kalimah “Allah” itu. Penggunaan kalimah “Allah” secara tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini. Oleh itu, satu garispanduan penggunaannya perlulah diwujudkan.

Kami juga ingin menyatakan bahawa sebagaimana yang telah dipersetujui oleh pihak penganjur dan para panel muzakarah, dan berdasarkan kepada tradisi keilmuan dan semangat perbezaan pandangan, maka tiada sebarang ketetapan rasmi telah dikeluarkan diakhir sesi muzakarah berkenaan.

Pendirian muzakarah pakar ini tidak bercanggah dengan kenyataan rasmi PAS:
http://pas.org.my/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=2603:kenyataan-rasmi-presiden-pas-mengenai-isu-kalimah-allah-&catid=20:kenyataan-rasmi&Itemid=99

tetapi bercanggah dengan gambar d bawah:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan