Selasa, 12 April 2011

BUNUH DIRI!!!

Salam,
Pada hari Jumaat malam sabtu 6 April 2011 , selepas menyampaikan kuliah maghrib di salah sebuah surau di daerah kediamanku dan seusai mengimamkan solat isyak, ada jenazah dibawa ke surau untuk disolatkan. Maka timbullah sedikit kegusaran segelintir para jamaah untuk mendapat kepastian sama ada jenazah itu boleh disolatkan atau sebaliknya. Di sini saya cuba merungkaikan masalah yang ditimbulkan oleh masyarakat berkaitan hukum solat jenazah bagi mereka yang membunuh diri.

Statistik menunjukkan, bagi tempoh 15 tahun lalu, seramai tujuh hingga 12 orang daripada setiap 100,000 penduduk Malaysia, mati kerana membunuh diri. Bagi tempoh sama di Singapura, nisbahnya adalah 15 hingga 20 orang bagi setiap 100,000 mati bunuh diri.

Perbuatan membunuh diri bukan termasuk perkara mensyirikkan Allah tetapi tergolong dalam perbuatan maksiat berstatus dosa besar dan pelaku dosa besar dikenali sebagai golongan fasik.

 Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat jenazah golongan fasik ini sama ada jenazah itu terdiri daripada golongan yang tidak solat, tidak berzakat, penzina, peminum arak dan termasuk juga bunuh diri.

Sebahagian ulama seperti Umar Abdul Aziz dan juga al-Auza’i berpandangan, jenazah orang fasik tidak boleh disolatkan. Imam Abu Hanifah dan sahabatnya bersetuju dengan pendapat ini namun dalam kes tertentu seperti solat ke atas jenazah golongan pemberontak (al-Baaghi) dan memerangi Islam (al-Muharib).

Bagaimanapun, secara sepakat, ulama termasuk Imam Malik, Syafi’i, Abu Hanifah serta jumhur ulama berpendapat jenazah orang fasik tetap wajib disolatkan.

Antara dalilnya, sabda Nabi SAW diriwayatkan ad-Daruqutni dan at-Tabrani yang bermaksud: “Solatlah kamu di belakang sesiapa saja yang mengucapkan Laa ilaaha illallah dan solatlah oleh kamu sesiapa saja yang mengucapkan Laa ilaaha illallah.”

Imam Syaukani dalam hal ini mengulas: “Solat jenazah ke atas orang fasik telah ditunjukkan oleh hadis itu”, sementara Imam Nawawi menyatakan, telah hampir mencapai ijmak bahawa orang yang mati kerana bunuh diri tetap perlu disolatkan dan dikuburkan di tanah perkuburan orang Islam.

“Maka dalam konteks sekarang maka elok kita melihat kepada pendapat jumhur ulama kerana dalilnya lebih kuat (rajih). Justeru, jenazah orang fasik tetap wajib hukumnya disolatkan. Hujahnya, mereka adalah Muslim, bukan kafir,” katanya.

Namun katanya, bagi pemimpin atau tokoh masyarakat seperti khalifah dan ulama, sebaiknya tidak mensolatkan jenazah orang fasik sebagai satu bentuk hukuman serta pelajaran atas jenazah yang bersangkutan sekali gus kecaman supaya yang hidup tidak meniru perbuatan tercela itu.

Berdasarkan penjelasan pendapat serta huraian itu jelaslah jenazah orang bunuh diri tetap wajib disolatkan kaum Muslimin dan tidak ada larangan kecuali wujud dalil khusus melarangnya.

Di samping itu, ada pandangan ulama, Rasulullah SAW tidak mensolatkan orang bunuh diri kerana itu hukum khusus kepada baginda tetapi tidak orang lain seperti kes orang mati meninggalkan hutang yang Rasulullah SAW tidak mensolatkannya tetapi memerintahkan penyempurnaan solat jenazah kepada sahabat lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan