Imam Syihaabuddin al-Qasthalaani rahimahUllah menyatakan bahawa sebahagian ulama menamakan bulan Sya'baan adalah "Syahrush Sholati 'alan Nabiy" iaitu bulan sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW. Ini adalah kerana ayat 56 surah al-Ahzaab yang memerintahkan kita bersholawat ke atas Junjungan Nabi SAW diturunkan dalam bulan yang mulia ini. Oleh itu marilah kita memperbanyakkan lagi sholawat ke atas Junjungan Nabi SAW dalam bulan yang berkat ini. Sungguh amalan bersholawat mempunyai berbagai kelebihan dan keberkatan dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi. Antara fadhilat sholawat untuk kesejahteraan hidup kita di dunia ialah ianya boleh menjadi sebab bagi tertolaknya atau terhindarnya penularan wabak penyakit berjangkit sebagaimana pernyataan sebahagian ulama dan sholihin seperti Syaikh Ibnu Abi Hajlah dan Syaikh Ibnu Khathib.
Maka tidak hairan jika beberapa ulama telah mengarang shighah sholawat yang mengandungi permohonan kepada Allah dengan berkat Junjungan SAW dan berkat sholawat agar diberikan kesembuhan daripada penyakit dan dihindarkan segala wabak. Maka terhasillah shighah Sholawat Syifa` dan sebagainya. Selain daripada Sholawat Syifa` yang telah masyhur itu, Syaikh Yusuf bin Ismail an-Nabhani rahimahUllah menyebut dalam "Sa`aadatud Daarain" halaman 629 akan satu lagi faedah bagi menolak tha`un (wabak berjangkit) dengan bersholawat dengan untaian sholawat seperti berikut:-
Ya Allah, kurniakanlah sholawat ke atas Junjungan Sayyidina Muhammad dan atas keluarga baginda; Sholawat yang Engkau tolakkan (hindarkan) daripada kami dengan keberkatannya akan segala serangan penyakit dan wabak penyakit. Wahai Tuhan yang urusanNya apabila Dia menghendaki sesuatu memadai Dia berfirman "Jadi" maka jadilah ia (tamsil bagi kehebatan dan kekuasaanNya yang mutlak).
Mudah-mudahan dengan berkat jah Junjungan Nabi SAW, Allah SWT selamatkan kita sekalian dari segala wabak penyakit termasuklah H1N1 dan lain-lain bencana dunia dan akhirat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan