Jumaat, 3 Julai 2009

ULANG TAHUN KELAHIRAN


Hari ini, genaplah umurku yang ke 35 tahun. Ini bermakna semakin hampir aku nak mengadap Rabbul Jalil. Mudah-mudahan anugerah kesihatan yang diberikanNya tidak aku sia-siakan. Di rumah dan di tempat kerja ucapan tahniah dan selamat diucapkan oleh isteri, anak-anak dan rakan-rakan setugas. Terima kasih aku ucapkan kepada mereka yang ikhlas melafazkan kalimah tahniah dan selamat itu.

Rata-rata orang bergembira apabila menyambut ulang tahun kelahiran, tetapi aku berasa risau apabila umurku semakin meningkat. Rasa-rasa amal soleh yang aku lakukan masih belum cukup untuk dijadikan bekalan bertemu Rabbul Izzati nanti. Aku berharap, azam sempena menyambut ulang tahun kelahiran ini, aku akan menggandakan amal soleh kerana takut-takut dijemput oleh Sang Pencipta bila-bila masa.

Ramai orang terpengaruh dengan usia yang masih muda daripada melakukan amal ibadah dan begitu juga dengan badan yang sihat menjadi ukuran bahawa petanda maut masih jauh. Aku teringat pepatah orang tua-tua:

" Jangan tertipu dengan usia yang muda, kerana mati tidak syarat tua dan jangan tertipu dengan badan yang sihat, kerana mati tidak syarat sakit."

Maut/mati tidak mengenal usia tua atau muda, berpenyakit atau sihat, sampai ajal apabila Allah perintahkan Izrail menjalankan tugasnya tidak lewat atau cepat sesaat akan dilaksanakan olehnya. Begitulah hamba Allah yang melaksanakan tugasnya tanpa ditangguh-tangguh lagi kerana perintah Allah mesti dipatuhi sepenuhnya.

Ya Allah, berilah kekuatan fizikal kepada ku agar aku dapat melaksanakan tugas sebagai hamba Mu. Peliharalah diriku daripada melakukan maksiat terhadap Mu. Ampunkanlah dosa ibubapaku yang susah payah mengasuhku dari kecil. Ampunkanlah dosa isteriku serta anak-anakku. Tidak ku lupa ampunilah dosa mentuaku. peliharalah mereka semua agar menjadi hamba Mu yang soleh dan solehah.

Amin Ya Rabbal Aaalamin.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan